Kempen Peningkatan Sokongan Komputer Dan Internet. KemSoIT



Matlamat Kempen KemsoIT


Lawat Penaja Laman Ini Supaya Dunia Internet Terus Percuma :-


Kempen sokongan komputer dan Internet adalah kempen untuk meningkatkan sumber sokongan kepada masalah komputer dan Internet secara maya dan agar mudah dicapai oleh golongan yang memerlukan. Ia ditumpukan kepada kepada pengguna komputer dan Internet di Malaysia dan rantau ASEAN terutama yang berbahasa melayu. Tumpuan kepada satu bahasa disebabkan bahan-bahan sokongan komputer dan Internet lebih banyak terdapat dalam bahasa Inggeris dan sukarlah bagi pengguna yang tidak menguasai bahasa ini.

Tumpuan Kempen KemSoIT


Kempen ini dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama Kempen yang ditujukan kepada mereka yang ingin bertanyakan soalan dan mengemukakan masalah. Bahagian kedua ditujukan kepada golongan pakar dan berpengetahuan untuk giat memberikan bantuan dan sokongan kepada mereka yang memerlukan.

Bahagian pertama kempen adalah untuk memberikan panduan ringkas dan petunjuk ke arah bantuan tambahan bagi mereka yang mempunyai soalan dan masalah yang ingin diajukan. Masalah utama, dimanakah ingin kita bertanya ?.

Dalam kempen ini beberapa laman dan kumpulan perbincangan telah dipilih sebagai cadangan . Laman dan kumpulan perbincangan ini boleh dicapai sama ada melalui applikasi pelayar ataupun email. Cadangan laman boleh anda lihat dalam nota Haris disambungan ini

http://hafnie.tripod.com/nota/bantuan.html

Cadangan laman dan kumpulan diskusi juga diletakkan dihujung dokumen kempen ini. Anda boleh memgemukakan masalah dan soalan anda dimana-mana laman dan kumpulan perbincangan yang sesuai. Sertai satu atau lebih atau kesemua mengikut kemampuan anda. Yang penting anda bergerak aktif.

Bahagian Pertama Kempen KemSoIT


Dalam kempen bahagian pertama ini juga, ia turut mengajak pengguna komputer dan Internet, mematuhi netika yang baik dalam mengemukakan soalan dan masalah dan apa yang perlu dilakukan dalam situasi jawapan tidak jelas. Dalam mengemukakan soalan, mereka yang mahu memberikan jawapan memerlukan beberapa maklumat tambahan yang perlu untuk mereka dalam membuat penilaian. Antara maklumat yang diperlukan adalah jumlah memori, jenis CPU, besar cakera keras, jenis modem dan kelajuannya, nama ISP dan pelbagai lagi maklumat setakat mana yang anda boleh berikan.

Anda bolehkan gunakan applikasi "System Information" pada ruang menu Start -> All Programs -> Accessories -> System Tools, untuk mendapatkan maklumat yang sesuai. Cuba sertakan juga ralat-ralat yang timbul daripada masalah yang dihadapi. Salin kod-kod ralat yang muncul kerana ia dapat membantu lagi dalammencari jawapan.

Setiap soalan diutarakan, mungkin dibalas dengan pelbagai jawapan dan penyelesaian. Ini disebabkan setiap masalah ada satu atau pelbagai cara penyelesaiannya. Anda perlu pilih mana yang sesuai dengan masalah anda. Mereka yang memberikan jawapan sukar memberikan cara dan jawapan yang tepat, ini disebabkan mereka tidak berada didepan komputer yang bermasalah.

Disini ingin dinyatakan. Sama ada mereka yang memberikan jawapan, laman dan kumpulan perbincangan, kempen ini dan saya sendiri tidak dapat bertanggungjawab secara langsung atau tidak langsung kepada setiap jawapan dan penyelesaian. Anda mesti menganggap ia sebagai cadangan dan anda perlu buat keputusan yang terbaik sama ada anda berbincang dengan mereka yang berpengetahuan atau anda sanggup menanggung risiko daripada masalah yang mungkin timbul. Keadaan jarak dan Internet itu sendiri menyukarkan jaminan untuk dibuat.

Walau bagaimanapun anda tidak perlu risau, kebanyakan nasihat dan jawapan adalah selamat untuk diikuti dan anda selalunya akan diberi amaran oleh mereka yang memberikan jawapan, jika jawapan dan penyelesaian akan melibatkan kehilangan data. Jika anda tidak pasti anda boleh bertanya kepada laman dan kumpulan diskusi lain, yang penting, anda ringan tangan bertanya dan memberikan maklumat terperinci sebaik yang ada untuk memudahkan jawapan tepat diberikan.

Sebaik sahaja anda menyelesaikan masalah, digalakkan anda kongsikan bersama penyelesaian anda dalam laman dan kumpulan diskusi yang anda tanyakan soalan. Ini akan memberi peluang kepada pemberi jawapan menilaikan jawapan yang mereka telah berikan.

Jaga netika anda dalam kumpulan diskusi. Miskipun kita hanya dikenali dengan "nick name" Internet sahaja, namun sebagai orang yang berbahasa dan beradab kita perlu jaga keadaan yang hormani dan baik walaupun di dunia Internet.

Sebagai pengguna anda juga boleh menyumbang. Tidak semesti mereka yang pakar sahaja yang menyumbang. Adakala jawapan daripada mereka yang pernah menghadapi masalah yang sama lebih banyak membantu. Jangan segan untuk memberikan jawapan dan berkongsi pengalaman. Adakala idea yang lebih baik boleh datang daripada jawapan anda.

Penyertaan anda dalam memberikan jawapan akan memberikan pengalaman yang tidak ternilai kepada anda. Penumpuan dalam mencari jawapan dan berkongsi ilmu akan meluaskan pengetahuan anda dalam dunia IT ini.

Bahagian Kedua KemSoIT


Bahagian dua kempen ini adalah untuk mengajak mereka yang pakar, berpengalaman dan berpengetahuan dalam IT untuk turut serta menyumbang dalam memberikan jawapan dan penyelesaian.

Kekurangan dalam sistem sokongan komputer dan Internet kita disebabkan kurangnya mereka yang pakar dan berpengalaman memberi sumbangan dalam soal sokongan kepada masalah komputer dan Internet. Lebih-lebih lagi dalam kerja-kerja sukarela sebegini.

Inilah masanya kita menyumbang tenaga, masa dan wang ringgit untuk memastikan IT kita terus berkembang. Inilah masanya untuk kita mendidik pengguna komputer dan Internet kita daripada "tahu apa" kepada "faham apa". Pengguna yang tahu apa sukar berkembang untuk membentuk identiti IT kita sendiri. Pengguna yang faham akan kembangkan dunia IT kita sejajar dengan kehendak dan identiti kita.

Kita sendiri pernah menghadapi keadaan dimana masalah komputer dan Internet yang kita hadapi, sukar diselesaikan disebabkan kita tidak mendapatkan bantuan dan penyelesaian. Jika ada pun mungkin penyelesaian itu datang daripada luar negeri dan melibatkan kos. Perkara-perkara ini akan melambatkan proses perkembangan IT kita kerana ia boleh melemahkan semangat mereka yang baru dalam dunia IT. Penyertaan kita akan meringankan beban mereka dan boleh menjadi pemangkin kepada perkembangan dunia IT kita. Dunia IT kita tidak perlu lagi bergantung kepada pakar-pakar luar.

Kumpulan pakar dan berpengetahuan IT kita adalah ramai. Namun disebabkan kesibukan tugas dan pelbagai perkara lagi, mereka mungkin tidak dapat melibatkan diri. Dalam kempen ini, kita mahu melihat mereka turut menyumbang walaupun menjawab satu soalan dalam masa sebulan. Sedikit sumbangan sudah cukup bermakna untuk kempen ini. Semakin ramai menyumbang begini, semakin kurang persoalan tanpa jawapan atau tiada masalah tanpa penyelesaian.

Harapan KemSoIT


Harapan saya kepada kempen ini, mahu melihat satu hari nanti, mana-mana pengguna yang menghadapi masalah, akan memasuki mana-mana laman forum dan kumpulan perbincangan, mengutarakan masalah dan soalan dan ia akan disambut dengan jawapan, pelbagai jawapan daripada pelbagai ahli sama ada pakar atau tidak. Akhirnya pengguna ini akan menggunakan jawapan-jawapan yang diberi untuk dijadikan panduan untuk tindakan selanjutnya.

Bayangkan keadaan sekarang dimana yang bermasalah perlu dapatkan orang yang tahu untuk membantu, itupun jika dia tidak sibuk dengan tugasan lain. Menunggu jawapan email daripada rakan itu tadi. Mungkin kawannya dapat membantu mungkin tidak kerana setiap masalah tidak semua orang mengetahui penyelesaiannya. Akhirnya masa dibuang
berhari-hari menantikan jawapan. adakala untuk cepat komputer perlu dihantar ke kedai, yang tentunya melibatkan kos. Sebenarnya, kebanyakan masalah boleh diselesaikan sendiri oleh pengguna komputer jika mereka diberikan panduan yang jelas.

Projek kempen Sokongan Masalah Komputer Dan Internet ini adalah projek peribadi saya sendiri dalam melihat perkembangan IT kita terus berkembang dalam keadaan positif dengan ciri-ciri kita. Pengalaman saya dalam memberikan sumbangan dalam masalah komputer dan Internet menyebabkan saya giatkan kempen ini kerana, untuk saya seorang sahaja menjawab pelbagai soalan, melibatkan masa dan tenaga yang banyak. Alangkah bagusnya jika kita sesama dapat bergotong-royong dan bekerjasama membantu, agar penyelesaian lebih cepat dan tepat.

Rancangan Masa Depan KemSoIT


Untuk menjadikan sistem sokongan lebih "masa nyata" sama ada dengan penggunaan IRC, ICQ atau apa sahaja applikasi "messaging".

Pelepasan (Disclaimer)


Projek ini tidak melibatkan mana-mana pihak sama ada kerajaan atau bukan kerajaan, tidak juga berkait dengan mana-mana laman dan kumpulan perbincangan dalam dan luar negeri dan tidak melibatkan mana-mana syarikat sama ada persendirian atau umum.

Ini adalah usaha peribadi saya sendiri.

Maka dengan ini, tiada siapa, laman-laman dan kumpulan perbincangan, ahli-ahli yang memberikan jawapan, termasuk saya dapat bertanggungjawab kepada mana-mana pihak sekiranya timbul masalah langsung atau tidak langsung, hasil mencuba atau mengikut jawapan dan penyelesaian yang diberikan didalam mana-mana laman dan kumpulan perbincangan. Tujuan kempen ini hanya sebagai pelan cadangan dan panduan pencarian jawapan kepada masalah dan persoalan anda. Bukan sebagai penyelesaian akhir. Sekiranya masih dalam keraguan dengan masalah anda, dapatkan bantuan pakar dan jadikan jawapan-jawapan yang anda dapat sebagai sumber penilaian anda. Bukan penyelesaian akhir.

Dokumen-dokumen dalam kempen ini adalah milik umum, anda dibolehkan membuat salinan dan menyebarkan kepada rakan-rakan anda. Tolong jangan SPAM. Dokumen ini boleh diubah dan dibaiki dengan tujuan untuk meningkatkan mutu kempen asalkan ia tidak lari daripada matlamat kempen dan tidak mempunyai kepentingan mana-mana pihak. Yang dipinta disertakan sekali sambungan laman asal kempen ini.

http://www.geocities.com/lovhafnie
http://hafnie.tripod.com/kempen/kemsoit.html

Hakcipta Semua Pihak Dilindungi


Lindungan hakcipta adalah terpelihara kepada mana-mana pihak yang disebut dalam kempen ini tanpa niat untuk melanggar hakcipta mana-mana pihak. Lindungi hakcipta semua pihak untuk perkembangan dunia IT. Hapuskan cetak rompak. Sekiranya kos menghantui anda, gunakan applikasi daripada projek GPL (General public Licenses) dan pelbagai lagi applikasi percuma.
Rujuk http://www.opensource.org/ dan http://www.freewarehome.com/

Kempen ini adalah usaha Harisfazillah Bin Jamel

http://hafnie.cjb.net/

19 Dis 2001. Versi Web 1.0

Bukan Sekadar Internet Sahaja.


Senaraikan laman-laman dan kumpulan diskusi untuk sokongan komputer dan Internet. Sertakan sambungan laman, penerangan ringkas, "nick" pencadang dan tarikh. Sebarkan kembali kepada umum.

(1) http://www.mtusempoi.org/ . Laman forum yang merangkumi pelbagai topik dan IT adalah sebahagian daripada forum utamanya. Hafnie. 19 Dis 2001.

(2) http://duniadigital.cjb.net/ . Kumpulan diskusi email yang terdiri daripada mereka yang baru dan mahu berkongsi pengalaman komputer dan Internet mereka. Hafnie. 19 Dis 2001.

(3) http://www.ittutor.net/ . Laman forum ini memberi tumpuan sepenuhnya kepada masalah komputer, internet dan teknologi IT. Hafnie. 19 Dis 2001.



Anda suka laman ini ? Beritahu yang lain !

NameEmail
You:
Friend:

[ Get your own FREE referral system! ]



Laman ini berada di http://www.geocities.com/penampan4